global

Fitnah Rohingya di Facebook

Oleh Agensi

Naypyitaw: Tentara Myanmar didakwa menggunakan media sosial khususnya Facebook untuk menyamar sebagai peminat bintang pop dan ikon negara untuk menyebarkan kebencian terhadap etnik Rohingya serta agama Islam.

New York Times (NYT) melaporkan, kempen fitnah itu bermula sejak beberapa tahun lalu untuk menyebarkan termasuk mendakwa agama Islam sebagai ancaman global terhadap ajaran Buddha.

Kata laporan itu lagi, kempen itu turut menyebarkan berita palsu untuk meningkatkan kemarahan orang ramai seperti kisah seorang wanita beragama Buddha yang dirogol lelaki Islam yang sebenarnya tidak wujud.

Kempen itu dilakukan kakitangan tentera Myanmar yang menjadikan media sosial sebagai alat penghapusan etnik, kata bekas pegawai tentera, penyelidik dan pegawai awam negara itu.

Sekurang-kurangnya 700 orang terbabit dalam operasi itu yang bermula dengan pelancaran laman berita dan profil di Facebook bagi bintang pop terkenal, model dan selebriti lain termasuk seorang ratu cantik yang mempromosi propaganda tentera.

Mereka juga mengendalikan blog popular dinamakan ‘Opposite Eyes’. Semua itu menjadi saluran penyebaran foto, berita palsu dan mesej hasut mensasarkan orang Islam di Myanmar.

“Kempen di Myanmar ini juga menggunakan pendekatan menarik sokongan seperti dilakukan di Russia,” kata Mr Myat Thu, seorang penyelidik yang mengkaji berita palsu dan propaganda di Facebook.

Satu daripadanya membabitkan akaun palsu tanpa ramai pengikut yang membuat komen penuh emosi, selain berkongsi berita palsu bagi membolehkan fitnah pantas disebarkan.

Kumpulan hak asasi manusia memberi tumpuan kepada laman Facebook ‘Opposite Eyes’, yang bermula sebagai blog satu dekad lalu sebelum menyertai media sosial.

Dua sumber berkata, blog itu menyediakan berita tentera, menguar-uarkan pembelian jet pejuang Russia dan menjadi tempat luahan penentang kumpulan minoriti seperti Rohingya.

Facebook mengesahkan semua perkara ini. Ketua Dasar Keselamatan Siber, Nathaniel Gleicher berkata, mereka mengesan cubaan menyebarkan propaganda yang ada hubungan langsung dengan tentera Myanmar.

Isnin lalu, selepas ditanya oleh NYT, Facebook menyatakan, ia sudah membuang banyak akaun yang menumpukan kepada hiburan tetapi sebenarnya ada hubungan dengan tentera dengan pengikut seramai 1.3 juta.

Disiarkan pada: October 22, 2018 @ 1:00pm
d