global

Jordan ambil balik tanah daripada Israel

Oleh Agensi

AMMAN: Pemimpin Jordan, Raja Abdullah II, memutuskan mengambil kembali tanah yang dipajak selama 25 tahun kepada Israel dan tidak akan memperbaharui perjanjian pajakan itu.

Tanah pertanian di al-Ghumar dan al-Baqura seluas lebih 400 hektar di tebing Sungai Yarmouk dekat sempadan Jordan-Israel itu dipajak kepada Israel sebagai sebahagian daripada perjanjian damai pada 1994.

Menurut AlJazeera, pajakan tanah itu berakhir tahun depan dan tempoh akhir memperbaharuinya ialah Khamis minggu ini.

Baqura terletak di utara Lembah Jordan dan ditawan Israel pada 1950. Ghumar pula terletak dekat Aqaba di sebelah selatan Jordan dan ditawan dalam perang Asia Barat 1967.

Mengikut perjanjian damai dua negara itu, Jordan bersetuju membenarkan kehadiran petani dan pegawai tentera Israel di kawasan terbabit.

Abdullah berkata, beliau sudah memaklumkan keputusannya kepada Israel.

“Kami melaksanakan kedaulatan kami untuk kawasan berkenaan. Keutamaan ialah melindungi kepentingan kami dan apa saja yang perlu bagi Jordan dan rakyatnya,” katanya.

Abdullah tidak menyatakan sebab beliau mengambil keputusan itu tetapi tekanan dalaman yang semakin meningkat supaya pajakan itu ditamatkan.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, Jordan berhak menerima semula wilayah berkenaan, namun beliau masih mahu mengadakan rundingan dengan jirannya itu mengenai kemungkinan melanjutkan pajakan.

Disiarkan pada: October 23, 2018 @ 6:30am
d