global

Visa pegawai Arab Saudi ditarik

Oleh AFP

WASHINGTON : Visa pegawai Arab Saudi terbabit dalam ‘pembunuhan kejam’ wartawan Jamal Khashoggi akan ditarik semula, tindakan besar pertama diambil Amerika Syarikat (AS) terhadap sekutu rapat mereka itu susulan kemarahan yang semakin meningkat di seluruh dunia.

Tindakan itu diputuskan selepas kenyataan oleh Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan bahawa pembunuhan Khashoggi di dalam konsulat Arab Saudi di Istanbul telah dirancang dengan teliti.

Jabatan Negara yang berdepan desakan untuk pendekatan tegas melangkaui batas politik berkata, mereka telah mengenal pasti 21 rakyat Arab Saudi untuk dikenakan tindakan berkenaan, sama ada menarik semula visa atau menyekat permohonan mereka pada masa akan datang.

“Hukuman ini bukan yang terakhir dari AS dalam kes Khashoggi. Kami akan terus meneliti pendekatan tambahan bagi membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan,” kata Setiausaha Negara Mike Pompeo kepada wartawan.

“Kami ingin menegaskan bahawa AS tidak bertolak ansur dalam tindakan seumpama ini yang diambil untuk mendiamkan Khashoggi,” katanya.

Diplomat Kanan AS itu berkata, suspek rakyat Arab Saudi berkenaan terdiri daripada ‘perkhidmatan perisik’, istana, kementerian luar dan beberapa kementerian lain di Arab Saudi,

Menurut Pompeo, AS juga sedang menimbangkan kemungkinan mengambil tindakan di bawah undang-undang dinamakan sempena Sergei Magnitsky, seorang akauntan anti rasuah yang mati dalam tahanan Russia, membabitkan sekatan kewangan ke atas individu di sebalik kematian Khashoggi.

Tindakan AS terhadap rakyat Arab Saudi itu berlaku tiga minggu selepas Khashoggi yang melarikan diri ke Washington dilaporkan hilang ketika berurusan di konsulat Arab Saudi dan siri kenyataan bercanggah oleh Presiden Donald Trump, mencakupi beberapa tindakan penting antaranya menghentikan penjualan senjata api kepada rakan pertahanan utama mereka.

Bercakap kepada wartawan di Pejabat Oval, Trump berkata Arab Saudi mengambil tindakan paling buruk dengan membunuh pengkritik berusia 59 tahun itu.

“Ia dilakukan dengan begitu buruk dan cubaan menyembunyikan perkara itu adalah yang paling teruk dalam sejarah,” katanya.

Disiarkan pada: October 24, 2018 @ 11:41am
d