global

Trump kecam cubaan sembunyi pembunuhan

Oleh Reuters

WASHINGTON : Cubaan Arab Saudi untuk menyembunyikan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi adalah yang paling buruk pernah dilakukan, kata Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump semalam.

Beliau turut berikrar untuk menarik semula visa beberapa individu dipercayai terbabit dalam pembunuhan kolumnis Washington Post itu.

Trump menyatakan demikian beberapa jam selepas presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menepis cubaan Arab Saudi untuk menyalahkan operasi jenayah sebagai penyebab kematian Khashoggi.

Erdogan menggesa Riyadh membuat siasatan terperinci dan menyeluruh untuk mencari dalang sebenar kematian Khashoggi di konsulat Arab Saudi pada 2 Oktober lalu, satu insiden yang mencetuskan kemarahan global serta mengeruhkan hubungan antara Riyadh dan Washington.

Bagi semua sekutu Arab Saudi, persoalannya adalah adakah mereka percaya Putera Mahkota Mohammed Salman yang menampilkan dirinya sebagai seorang reformis bertanggungjawab atas kes itu.

Menurut Trump, pembunuhan dan cubaan menyembunyikan kejadian itu oleh Arab Saudi adalah satu kemusnahan besar.

“Mereka tidak sepatutnya menghukum atau cuba menyembunyikan perbuatan itu kerana ia tidak seharusnya berlaku,” kata Trump kepada wartawan.

Beliau juga memberitahu telah bercakap dengan Putera Mohammed Salman Isnin lalu yang menafikan terbabit dalam pembunuhan Khashoggi.

Terdahulu Trump berkata kes Khashoggi dikendalikan dengan begitu buruk oleh kerajaan Arab Saudi.

Disiarkan pada: October 24, 2018 @ 11:52am
d