global

Lelaki ikut 'nasihat'' Trump raba wanita

Oleh AFP

WASHINGTON: Seorang lelaki yang ditahan kerana didakwa meraba payudara wanita ketika berada dalam pesawat memberitahu polis bahawa Presiden Donald Trump berkata menyentuh bahagian sulit wanita adalah perkara biasa.

Trump, sebelum ini berkata beliau boleh menyentuh alat sulit wanita dan tidak ditahan kerana beliau popular

Dalam penerbangan Southwest Airlines Ahad lalu dari Houston ke Albuquerque, seorang wanita tidak dinamakan sedang tidur, dan terjaga kerana berasa ada tangan dari kerusi belakang menyentuh payudara kanannya, menurut aduan yang difailkan di Mahkamah Daerah di New Mexico.

Pada awalnya beliau menyangka ia tidak disengajakan tetapi selepas ia berlaku lagi 30 minit kemudian, wanita itu bangun dan berhadapan dengan suspek, dikenal pasti sebagai Bruce Alexander, dan meminta lelaki itu berhenti.

Mangsa berpindah ke kerusi lain di bahagian belakang pesawat.

Alexander ditahan selepas pesawat mendarat di Albuquerque.

Selepas digari dan dimasukkan ke dalam kereta polis, dia berkata ‘presiden AS berkata tidak mengapa meraba bahagian sulit wanita’.

Sejurus sebelum pilihan raya 2016, rakaman audio tersebar dengan Trump kedengaran berkata: “Jika anda terkenal, mereka membiarkan anda lakukan. Anda boleh lakukan apa sahaja.

“Raba kemaluan mereka. Anda boleh lakukan apa sahaja.”

Disiarkan pada: October 24, 2018 @ 3:48pm
d