global

Wartawan diculik kembali ke pangkuan keluarga

Oleh AFP

TOKYO : Wartawan Jepun yang diculik di Syria lebih tiga tahun lalu selamat tiba di negara kelahirannya itu petang tadi dan disambut dengan tangisan gembira oleh semua keluarga selepas sekian lama hidup dalam ‘neraka’.

Jumpei Yasuda yang dibebaskan awal minggu ini dan dibawa ke Turki, bertemu semula dengan isterinya, Myu, ibu bapa serta saudara mara lain di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita.

“Saya memohon maaf kerana menyusahkan dan membuat anda semua risau tetapi terima kasih, kerana bantuan anda membolehkan saya kembali dengan selamat,” katanya dalam kenyataan ringkas yang dibacakan isteri beliau kepada media.

Beliau enggan bertemu media tetapi berjanji akan memberikan sidang akhbar untuk berkongsi pengalaman.

Terdahulu dalam penerbangan ke Tokyo, Yasuda ditemuramah secara ringkas oleh media Jepun dan menceritakan pengalaman hidup sebagai tawanan.

“Ia sangat dahsyat,” katanya yang memiliki janggut panjang bersama rambut dipenuhi uban.

“Bukan hanya fizikal tetapi juga mental. Tanggapan bahawa saya tidak akan dibebaskan membuatkan sedikit demi sedikit saya hilang kawalan,” katanya.

Yasuda kelihatan tenang tetapi kelihatan teruja dan letih namun masih berada dalam keadaan sihat.

“Selama hampir 40 bulan saya langsung tidak bertutur bahasa Jepun dan agak sukar untuk saya bercakap.

“Saya gembira dapat pulang semula ke Jepun. Pada masa sama, saya tidak tahu apa akan berlaku sekarang dan apa yang perlu dilakukan. Saya agak buntu dan tak tahu apa patut difikirkan,” katanya.

Disiarkan pada: October 25, 2018 @ 9:41pm
d