global

Ekstradisi pembunuh Khashoggi sukar

Oleh Agensi

ISTANBUL: Meskipun Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan menegaskan mahu mengekstradisi mereka yang terbabit dalam pembunuhan Jamal Khashoggi, namun peluang untuk mereka dibicarakan di Turki amat tipis.

Erdogan berkata, pembunuhan kejam Khashoggi itu sudah dirancang dan mendesak Arab Saudi mengekstradisi 18 suspek ke Turki untuk dibicarakan.

Rabu lalu, Menteri Kehakiman Turki, Abdulhamit Gul, berkata: “Jika pendakwa raya Turki mempunyai bukti kukuh pembabitan suspek dalam pembunuhan Khashoggi, ia boleh membuka kertas siasatan dan meminta mahkamah memerintahkan suspek diekstradisi ke Turki.”

Namun, menurut AlJazeera, pakar perundangan menganggap peluang untuk ekstradisi itu amat tipis.

“Menurut undang-udang antarangangsa, sesebuah negara tidak akan mengekstradisi rakyatnya sendiri,” kata Profesor Madya Undang-Undang Jenayah Universiti Mef di Istanbul, Guclu Akyurek.

Menurutnya, Turki dan Arab Saudi tiada perjanjian ekstradisi dan pilihan yang ada ialah menandatangani perjanjian ekstradisi khas hanya untuk kes Khashoggi.

Namun, keadaan itu berkemungkinan besar tidak akan berlaku.

Pakar ekstradisi, Professor Stefano Maffei dari Universiti Parma, Professor Stefano Maffei berkata, pilihan lain ialah Turki bekerjasama dengan Interpol jika Arab Saudi enggan bekerjasama dalam kes itu.

Interpol akan mengeluarkan ‘notis merah’ iaitu permohonan antarabangsa untuk menahan dan mengekstradisi suspek menyebabkan mereka akan ditahan jika berada di luar Arab Saudi.

“Keadaan itu menyebabkan suspek perlu berada di Arab Saudi selama-lamanya,” katanya.

Profesor perundangan antarabangsa Universiti Middlesex, William Schabas berkata, kes itu semakin sukar kerana membabitkan misi diplomatik.

“Kedutaan dan konsulat tidak boleh diceroboh,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Maffei, kekebalan diplomatik hanya sah untuk bangunan konsulat, bukan orang yang bekerja di dalamnya.

“Menjadi diplomat bukan lesen untuk membunuh. Jika diplomat membunuh, negara di mana pembunuhan itu berlaku berhak membicarakannya.

“Namun, bagi kes Khashoggi, jika bukti berada dalam konsulat, siasatan memerlukan kerjasama Arab Saudi,” katanya.

Semua 18 suspek pembunuhan itu berada di Arab Saudi dan sudah ditahan pihak berkuasa negara itu menunjukkan Riyadh sendiri akan membicarakan mereka.

Disiarkan pada: October 26, 2018 @ 6:15am
d