global

11 maut dalam serangan rumah ibadat Yahudi

SEBELAS orang maut dan enam lagi cedera apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan rambang ke arah sekumpulan penganut Yahudi yang sedang mengadakan upacara penamaan bayi di rumah ibadat Tree Of Life di Pittsburgh, semalam.

Penyerang itu disahkan oleh polis sebagai penduduk tempatan, Robert Bowers yang dilaporkan berulang kali melaungkan jeritan “Semua Yahudi perlu mati” semasa menyerbu masuk rumah ibadat itu ketika ramai penganut agama itu sedang mengikuti upacara keagamaan Sabbath.

Lelaki itu dipindahkan ke hospital berdekatan sebaik diletakkan di bawah tahanan polis.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menyifatkan serangan itu sebagai satu pembunuhan besar-besaran, merujuk kepada peningkatan unsur kebencian di negara terbabit, manakala anak perempuannya, Ivanka yang sudah memeluk Judaism menganggap kejadian terbabit sebagai tidak bermoral.

“Seharusnya tidak wujud tolak ansur untuk anti Semitism,” kata Trump pada satu perhimpunan di Indianapolis.

“Pembunuhan besar-besaran ini amat jahat dan sukar dipercayai. Fikiran kita tidak akan boleh memahami bagaimana kebencian kejam dan dendam boleh membuatkan seseorang melakukan keganasan dahsyat semasa upacara penamaan bayi dilakukan,” katanya.

Pengarah keselamatan awam Pittsburgh dalam satu sidang media berkata, 11 orang maut dan enam tercedera dengan kesemua mangsa disahkan sebagai individu dewasa.

Pihak berkuasa yang menyiasat insiden berkenaan sebagai jenayah berunsurkan kebencian berkata, Bowers menggunakan rifel dan sekurang-kurangnya tiga pistol untuk melakukan serangan. - AFP

Disiarkan pada: October 28, 2018 @ 9:51am
d