global

Puteri Jepun berkahwin dengan rakyat biasa

Oleh Reuters

Tokyo: Puteri Jepun, Ayako, melepaskan taraf kerabat diraja untuk berkahwin dengan rakyat biasa, Kei Moriya, semalam.

Majlis perkahwinan mereka secara tradisional diadakan di Kuil Meiji, di sini.

Ayako menjadi kerabat diraja terbaharu melepaskan statusnya itu untuk memilih kehidupan sebagai rakyat biasa.

Puteri berusia 28 tahun itu, anak perempuan ketiga mendiang sepupu Maharaja Akihito, Putera Takamado, berkahwin dengan Moriya, 32, seorang kakitangan syarikat perkapalan Nippon Yusen.

Pada majlis itu, Ayako memakai berlapis-lapis kimono dengan gaya rambut bangsawan sementara pengantin lelaki memakai tuksedo hitam dengan seluar kelabu untuk upacara di kuil bagi menghormati semangat moyangnya, Maharaja Meiji.

“Saya gembira berkahwin dan dihadiri ramai orang yang mengucapkan tahniah kepada kami,” kata Ayako pada sidang media selepas majlis perkahwinan secara tertutup itu.

Keluarga diraja Jepun diberi kebebasan untuk berkahwin dengan sesiapa saja untuk sekurang-kurangnya tiga generasi.

Maharaja Akihito menjadi Putera Mahkota pertama berkahwin dengan orang biasa, iaitu Maharani Michiko. Mereka bertemu di gelanggang tenis.

Ayako terpaksa melepaskan status kerabat dirajanya kerana berkahwin dengan rakyat biasa. Beliau akan dikenali sebagai Ayako Moriya.

Keluarga diraja Jepun berdepan kekurangan pewaris lelaki. Putera Mahkota Naruhito akan mengambil alih takhta selepas bapanya, Akihito turun takhta tahun depan.

Saudara lelakinya, Fumihito, anak saudaranya, Hisahito serta Masahito iaitu saudara lelaki maharaja terkini ialah empat pewaris lelaki terakhir.

Disiarkan pada: October 30, 2018 @ 9:40am
d