global

'JT610 meragam, tapi dah baik pulih'

Oleh Reuters

PESAWAT Boeing 737 MAX milik Lion Air yang terhempas di perairan Indonesia pagi semalam terbang dalam keadaan terhuyung-hayang ketika penerbangan Denpasar-Jakarta, malam sebelumnya akibat masalah teknikal.

Menurut laman web pengesan penerbangan FlightRadar24, pesawat berlepas dalam keadaan tidak stabil apabila ia menurun 875 kaki (267 meter) dalam tempoh 27 saat, sedangkan ia sepatutnya menaik.

Bagaimanapun, juruterbang berjaya mengawal pesawat dan meneruskan perjalanan ke Jakarta.

Difahamkan, juruterbang turut meletakkan pesawat pada altitud maksimum 28,000 kaki (8,534.4 meter) berbanding 36,000 kaki (10,972.8) di laluan sama.

Ketua Eksekutif Lion Air, Edward Sirait memberitahu media semalam, masalah teknikal berlaku dalam penerbangan Denpasar-Jakarta, namun ia sudah dipulihkan ‘mengikut prosedur.’

Sementara itu, penumpang pesawat Denpasar-Jakarta memuatnaik kenyataan di Instagram memaklumkan mereka bimbang dengan masalah dengan sistem pendingin hawa dan lampu kabin selain pesawat berlepas lewat hampir tiga jam.

“Saya berang kerana sebagai penumpang yang membayar tiket, kami berhak menyoal keselamatan pesawat,” kata seorang daripadanya, hos televisyen, Conchita Caroline.

Conchita menambah, ada bunyi bising ‘pelik’ enjin ketika berlepas yang berterusan sepanjang penerbangan.

Penerbangan Denpasar-Jakarta mendarat pada 10.55 malam waktu tempatan Ahad, sekali gus memberi jurutera tempoh enam jam setengah untuk pemeriksaan sebelum ia berlepas bagi penerbangan Jakarta-Pangkal Pinang 6.20 pagi semalam.

Berita berkaitan

Lagi berita berkaitan Nahas Lion Air

Disiarkan pada: October 30, 2018 @ 5:02pm
d