global

Boleh jual jet milik Jho Low

Oleh Agensi

WASHINGTON: Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat sudah meluluskan perjanjian antara Global One Aviation Ltd (Global 5000) dan Jabatan Keadilan (DoJ) untuk menjual jet peribadi yang dikaitkan dengan Low Taek Jho atau Jho Low yang dikaitkan dengan skandal, 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Menurut TodayOnline dalam laporannya, Global 5000 dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi peguamnya berkata, kelulusan itu diberikan kepada mereka semalam.

Dalam kenyataan itu, semua pihak bersetuju bahawa proses pembidaan rasmi untuk menjual pesawat Bombardier Global 5000, perlu dilakukan dengan serta-merta mengikut undang-undang Amerika Syarikat, sehinggalah hak perundangan bagi semua pihak yang terbabit ditentukan oleh mahkamah.

“Persetujuan itu dicapai hasil kerjasama Kerajaan Amerika Syarikat, bagi memastikan hak perundangan semua pihak terbabit dikekalkan dan nilai jet itu tidak terjejas, sementara menunggu tuntutan ke atasnya diselesaikan

“Hak dan perlindungan yang diberikan oleh Amerika Syarikat itu adalah penting memandangkan jet itu kini berada di Singapura

“Baru-baru ini, tindakan Kerajaan Malaysia menyita kapal mewah, Equanimity secara haram dianggap menyalahi undang-undang kerana aset itu terletak di luar prosiding perundangan mereka.

“Ia juga dianggap sebagai menghina kedaulatan undang-undang dan kesantunan antarabangsa, selain menjejaskan nilai pasaran aset terbabit,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini, DoJ dilaporkan mengemukakan permohonan di mahkamah ketika Kerajaan Malaysia sedang mengesan pesawat terbabit, yang dipercayai disimpan di Lapangan Terbang Seletar di Singapura.

Disiarkan pada: November 1, 2018 @ 3:11pm
d