global

Harimau baham 12 manusia mati ditembak

Oleh AFP

Mumbai: Harimau yang sudah membaham lebih 12 manusia dalam masa dua tahun di India, mati ditembak anggota Jabatan Perhutanan, kelmarin.

Kes pemburuan harimau yang menjadi antara paling berprofil tinggi dalam masa beberapa dekad berakhir malam kelmarin apabila haiwan dua anak berusia 10 bulan itu, dikenali dalam kalangan pemburu sebagai T-1 dan Avni kepada pencinta hidupan liar, ditembak mati dalam hutan di negeri Maharashtra.

Sepasukan lebih 150 orang menghabiskan masa beberapa bulan memburu T-1, menggunakan paraglider dan puluhan kamera infra merah dengan penembak tepat menunggang gajah.

Bagaimanapun, pertikaian berlaku selepas pembunuhan itu apabila media melaporkan harimau berkenaan ditembak di hutan Yavatmal tanpa usaha menembak ia dengan ubat pelali.

September lalu, Mahkamah Agung India mengeluarkan arahan memburu T-1 yang dipersalahkan bagi 13 kematian sejak Jun 2016. Menurut mahkamah, ia boleh dibunuh jika ubat pelali tidak berkesan.

Menurut laporan BBC, harimau itu dikesan renjer Jabatan Perhutanan dekat perkampungan Borati dan ditembak dengan ubat pelali.

Namun, harimau itu menyerbu ke arah kenderaan renjer menyebabkan ia ditembak dari jarak 10 meter.

T-1 dikatakan ditembak mati oleh Ashgar Ali Khan, anak lelaki pemburu terkenal India, Nawab Shafath Ali Khan, yang mengetuai pemburuan itu.

Disiarkan pada: November 4, 2018 @ 11:00am
d