global

15 maut trak rempuh 31 kereta di plaza tol

BEIJING: Seramai 15 orang disahkan maut manakala 44 lagi cedera selepas sebuah trak yang hilang kawalan merempuh barisan kereta di plaza tol di Lanzhou, barat laut China, semalam.

Jabatan Propaganda Lanzhou dalam satu kenyataan berkata, trak membawa muatan berat itu hilang kawalan ketika menuruni bukit di lebuh raya dan melanggar 31 kereta yang sedang berbaris di plaza tol terbabit.

Menurut pihak berkuasa, 10 daripada 44 mangsa yang cedera itu disahkan berada dalam keadaan parah.

Agensi berita rasmi Xinhua pula melaporkan, pemandu trak dikenali sebagai Li Feng ditahan untuk siasatan dan diletakkan di bawah pemerhatian polis.

Trak terbabit didaftarkan menggunakan nama kediaman Li Feng di wilayah Liaoning, lebih daripada 2,000 kilometer dari lokasi kejadian.

Laporan oleh akhbar China Daily menyebut ia adalah kali pertama lelaki itu memandu trak berkenaan.

Visual dari sistem penyiaran CCTV menunjukkan lokasi kejadian dipenuhi salji tebal dan kenderaan yang remuk sepenuhnya.

Kemalangan maut adalah perkara biasa di China susulan pelaksanaan undang-undang jalan raya yang lemah. - AFP

Disiarkan pada: November 4, 2018 @ 7:37pm
d