global

'El Chapo' Mexico dibicara esok

NEW YORK: Raja dadah kelahiran Mexico, Joaquin ‘El Chapo’ Guzman akan dibiacara kerana dituduh mengendalikan kartel dadah terbesar dunia, esok dan menghabiskan kira-kira 25 tahun menyeludup lebih 155 tan kokain ke Amerika Syarikat.

Perbicaraan di Mahkamah Persekutuan Brooklyn yang menelan belanja jutaan dolar dan dijangka berlanjutan lebih empat bulan akan menyaksikan salah seorang penjenayah paling terkenal dunia berhadapan sistem kehakiman AS.

Pendakwa raya memperuntukkan masa beberapa tahun mengumpulkan kes terhadap Guzman, yang diekstradisi pada 2017 selepas dua kali berjaya melarikan diri dari penjara di Mexico.

Guzman dianggap raja dadah terbesar dunia sejak Pablo Escobar dari Colombia, yang digelar ‘Raja Kokain’, dan antara lelaki terkaya dunia sehingga ditembak mati polis pada 1993.

Pakar berkata, kerajaan hampir pasti dapat memenjarakan Guzman, 61, dalam penjara keselamatan maksimum sepanjang hayat, tetapi ia menimbulkan skeptikal hukuman itu dapat mengurangkan penyeludupan masuk kokain ke AS.

“Adakah ia akan menghalang walaupun sekadar 453 gram kokain masuk ke AS? Mungkin tidak.

“Ia akan terus berputar,” kata peguam Rob Heroy yang pernah membela beberapa raja dadah Mexico lain.

Kartel Sinaloa yang diasaskan Guzman pada 1989 masih berpengaruh.

Rakan niaganya, Ismael ‘El Mayo’ Zambada masih bebas, dan penyeludupan ganas dadah masih berterusan di Mexico. - AFP

Disiarkan pada: November 4, 2018 @ 9:55pm
d