global

Lelaki maut diserang jerung

Oleh AFP

SYDNEY: Seorang lelaki mati selepas diserang seekor jerung, serangan ketiga dalam tempoh dua bulan di lokasi pelancongan popular di Terumbu Karang Besar Australia, kata pihak berkuasa hari ini.

Pasukan penyelamat berkata, lelaki itu cedera parah di kaki dan lengan selepas diserang petang semalam di kepulauan Whitsunday di luar negeri Queensland.

Lelaki berusia 33 tahun itu disahkan meninggal dunia selepas diterbangkan ke hospital, kata penyiar rasmi ABC.

Serangan berlaku kurang dua bulan selepas seorang wanita Australia dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun digigit hanya berselang 24 jam di kawasan yang sama.

Insiden di salah sebuah kawasan pelancongan popular di Australia itu memaksa pihak berkuasa memasang umpan untuk menangkap dan membunuh beberapa ekor jerung yang mengganas.

Menurut ABC, serangan jerung jarang berlaku di kawasan kepulauan tropika menakjubkan Whitsunday yang terletak di tengah-tengah Terumbu Karang Besar.

Serangan terakhir pernah dilaporkan di sini adalah lapan tahun lalu.

Disiarkan pada: November 6, 2018 @ 9:41am
d