global

Bomoh hujan bantu Mariah Carey

Oleh Agensi

YOGYAKARTA: Konsert muzik Borobudur Simfoni 2018 penganjur Konsert Live Mariah Carey yang bakal berlangsung malam ini di Taman Lumbini, dekat perkarangan Candi Borobudur, Jawa Tengah, terpaksa menggunakan khidmat bomoh hujan, lapor media tempatan.

Tempo.com melaporkan, demi kelancaran konsert itu, penganjur konsert menggunakan khidmat bomoh hujan, apatah lagi ketika rantau ini sedang berdepan musim tengkujuh.

Pada masa sama, pihak penganjur turut meminta ramalan cuaca daripada Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) berhubung keadaan cuaca sepanjang konsert, malam ini.

“Kami sudah meminta bantuan bomoh hujan dan turut menghubungi BMKG berhubung cuaca,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Rajawali Indonesia Communication, Anas Syahrul Alimi selaku perunding acara Borobudur Symphony 2018.

Katanya, rakyat Amerika Syarikat sangat percaya kepada ramalan cuaca terutamanya daripada agensi pengurusan cuaca dan oleh itu jabatan seperti BMKG menjadi sandaran utama untuk meyakinkan pengurusan diva pop ini.

“Mereka sangat mempercayai ramalan cuaca, malah sebelum memulakan acara atau perjalanan, mereka akan merujuk kepada ramalan cuaca terlebih dulu,” katanya.

Khidmat bomoh hujan bukan perkara pelik kerana sebelum ini Taman Wisata (Pelancongan) Candi Borobudur, Prambanan & Ratu Boko kerap menggunakannya terutama dalam menyelenggarakan pelbagai acara terbuka.

Disiarkan pada: November 6, 2018 @ 5:52pm
d