global

Khayal masuk kandang buaya

Oleh Agensi

FLORIDA: Selepas nyaris dibaham buaya, seorang lelaki berusia 23 tahun kini menghadapi pelbagai tuduhan jenayah, termasuk merosakkan harta benda selepas memecah masuk ladang ternakan buaya di St Augustine, di sini.

Rakaman CCTV menunjukkan lelaki itu, Brandon Keith Hatfield, memecah masuk Taman Ternakan Buaya St Augustine selepas pusat itu ditutup, kelmarin.

Ketua Polis St Augustine, Dee Brown berkata, lelaki itu berkemungkinan khayal dengan dadah ketika melakukan perbuatan itu dan polis kini menunggu keputusan ujian kandungan darahnya.

Daily Mail melaporkan, polis menerima panggilan daripada seorang wanita memberitahu ada lelaki berseluar pendek dan berlumuran darah merangkak di halaman belakang rumahnya berdekatan taman buaya itu.

Apabila polis menemuinya, Hatfield memberitahu dia digigit buaya dan polis kemudian mengaitkannya dengan kejadian taman buaya dipecah masuk selepas menerima laporan vandalsime di taman itu.

Penelitian rakaman CCTV mengenal pasti Hatfield sebagai lelaki yang memecah masuk taman buaya itu dan menemui baju serta sebelah kasut Crocs dalam kolam buaya.

Dalam rakaman CCTV, lelaki berkenaan dilihat memanjat tembok setinggi lebih dua meter sebelum terjun ke dalam kolam sedalam hampir satu meter mengandungi tiga buaya. kira-kira 7.45 malam, Selasa lalu.

“Dia dilihat bergelut dengan sekurang-kurangnya seekor buaya sepanjang tiga meter dan bernasib baik berjaya melepaskan diri keluar dari kolam walaupun satu kakinya digigit haiwan itu.

“Lelaki itu kemudian memanjat pagar keluar dari taman berkenaan. Sepanjang 125 tahun taman buaya itu wujud, ini kali pertama kami menemui kes seseorang cuba berenang dalam kolam dipenuhi buaya,” kata jurucakap jabatan polis, Cecilia Aiple.

Menurut Miami Herald, polis kemudian menahan Hatfield ketika dia dirawat di hospital akibat kecederaannya itu.

Menurut Pejabat Sheriff Daerah St Johns, Hatfield didakwa memecah masuk, merosakkan harta benda serta dua tuduhan melanggar parol bagi kes memiliki dadah dan mencuri sebelum ini.

Menurut polis, lelaki berkenaan bernasib baik kerana memasuki kolam yang hanya ada tiga buaya kerana satu lagi kolam berdekatan mengandungi ratusan buaya.

Perbuatan lelaki itu menyebabkan kerosakan bernilai lebih AS$5,000 (RM20,787), termasuk satu tugu berharga AS$3,000 (RM12,472) yang patah.

Disiarkan pada: November 8, 2018 @ 6:01am
d