global

Henti cari mangsa nahas Lion Air

Oleh Reuters

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia, hari ini, berkata mereka sudah menghentikan operasi mencari mangsa nahas pesawat yang mengorbankan semua 189 penumpang dan kru, namun akan terus mencari kotak hitam kedua dan perakam suara kokpit penerbangan Lion Air itu

“Tiada lagi lokasi untuk dicari dan kami sudah tidak lagi menjumpai mayat mangsa. Kami akan mengehadkan operasi kepada pemantauan sahaja,” kata ketua agensi mencari dan menyelamat nasional (Basarnas), Muhammad Syaugi.

Pesawat penumpang Boeing 737 MAX baharu itu terhempas di laut pada 29 Oktober lalu, beberapa minit sebaik berlepas dari Jakarta dalam perjalanan ke pulau Bangka di Sumatera.

Syaugi berkata, 196 beg mayat mengandungi bahagian tubuh mangsa berjaya diperoleh dan 77 mangsa dapat dikenalpasti selepas pemeriksaan forensik.

Pihak berkuasa juga sudah memuat turun data daripada salah satu kotak hitam yang ditemui, minggu lalu iaitu perakam data penerbangan, namun masih mencari perakam suara kokpit.

Ketua jawatankuasa keselamatan pengangkutan (KNKT), Soearjanto Tjahjono berkata, perakam suara penting untuk memahami punca nahas.

“Daripada data kotak hitam, kita tahu kira-kira 70 hingga 80 peratus mengenai apa yang berlaku, namun untuk memahami punca nahas 100 peratus, kita perlu tahu perbualan dalam kokpit pesawat,” katanya.

Beliau enggan mengulas apa yang didedahkan daripada data perakam data penerbangan.

Disiarkan pada: November 10, 2018 @ 6:58pm
d