global

Jarum pekebun dendam pekerja

Oleh Agensi

Brisbane: Seorang pekerja wanita yang mencucuk jarum di dalam buah strawberi yang menggemparkan Australia mungkin bertindak demikian kerana berdendam dan mahu syarikat tempatnya bekerja ditutup.

Pendedahan itu dibuat ketika My Ut Trinh, 50, yang berasal dari Vietnam didakwa di Mahkamah Majistret Brisbane semalam.

Trinh yang memohon seorang penterjemah Vietnam didakwa atas tujuh tuduhan mencemarkan makanan antara 2 hingga 5 September dengan niat untuk menyebabkan kerugian ekonomi.

Perbuatan wanita itu mencetuskan krisis pencemaran strawberi dan menggemparkan Australia beberapa bulan lalu.

Mahkamah diberitahu, jarum menjahit pertama ditemui di dalam buah strawberi adalah pada 9 September.

Seorang detektif, Detective John Walker memberitahu wartawan, Trinh adalah seorang pekerja di industri Strawberi di Caboolture dan dia bertugas mencari pekerja untuk ladang Berrylicious/Berry Obsession.

Polis memulakan siasatan pada September lalu apabila jarum menjahit kali pertama ditemui dalam buah berkenaan sebelum 230 kejadian lagi dilaporkan membabitkan 68 jenama strawberi di seluruh negara.

Kejadian itu menyebabkan beberapa syarikat pembekal strawberi terpaksa membuang berjuta-juta buah berkenaan kerana tiada pengguna mahu membelinya.

7 News melaporkan, Trinh mahu menyebabkan syarikatnya rugi besar dan menutup perniagaan.

Trinh, bekas pelarian yang tiba di Australia dengan menaiki kapal kira-kira dua dekad lalu tidak dibenarkan ikat jamin dan ditahan hingga perbicaraan seterusnya pada bulan ini.

Sekiranya didapati bersalah, Trinh atau dikenali sebagai Judy berdepan hukuman penjara 10 tahun.

Disiarkan pada: November 13, 2018 @ 9:50am
d