global

'Abang Besar' bersalah

Oleh AFP

Phnom Penh: Mahkamah khas Kemboja semalam, memutuskan dua pemimpin rejim Khmer Rouge bersalah terhadap tuduhan melakukan pembunuhan beramai-ramai, 40 tahun selepas kejatuhan rejim itu yang menyebabkan kematian suku daripada jumlah penduduk negara berkenaan.

Bekas pemimpin Khmer Rouge, Khieu Samphan, 87, dan “Abang Besar Nombor Dua” Nuon Chea, 92, adalah dua pemimpin kanan kumpulan ultra-Maoist yang masih hidup selepas merampas kuasa dan memerintah Kemboja dari 1975 hingga 1979.

Keganasan ketika pemerintahan “Abang Besar Nombor Satu” menyebabkan kira-kira dua juta penduduk Kemboja mati akibat dijadikan buruh paksa, kelaparan dan pembunuhan beramai-ramai.

Keputusan oleh Mahkamah Luar Biasa dalam Mahkamah Kemboja (ECCC) itu adalah yang pertama mengakui pembunuhan beramai-ramai terbabit.

Kedua-dua mereka sebelum ini sudah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup pada 2014 bagi tuduhan keganasan dan pengosongan paksa Phnom Penh pada April 1975.

ECCC memutuskan Nuon Chea bersalah melakukan pembunuhan beramai-ramai etnik minoriti Islam Cham dan Vietnam.

“Mahkamah mendapati Nuon Chea melaksanakan arahan Pol Pot menjadikan beliau bertanggungjawab terhadap semua jenayah itu.

“Ia termasuk pembunuhan beramai-ramai etnik Cham, kumpulan agama serta etnik Vietnam,” kata Hakim Nil Nonn.

Ratusan orang, termasuk puluhan etnik Islam Cham dan sami Buddha menghadiri perbicaraan di mahkamah di pinggir Phnom Penh itu.

Rejim Khmer Rouge pimpinan Pol Pot cuba mewujudkan Kemboja, negara yang majoriti rakyatnya beragama Buddha sebagai negara Marxist yang menghapuskan darjat serta agama secara paksa.

Bagi melaksanakannya, golongan minoriti dibunuh dan sami Buddha dilucutkan taraf manakala wanita dan lelaki dipaksa kahwin atau melakukan seks bagi melahirkan anak rejim.

Mahkamah itu yang menggunakan undang-undang Kemboja dan antarabangsa ditubuhkan dengan sokongan PBB pada 2006 bagi membicarakan pemimpin kanan Khmer Rouge dan sudah menyabitkan tiga orang dengan kos lebih AS$300 juta.

Bekas menteri luar rejim itu, Ieng Sary dan isterinya meninggal dunia sebelum sempat dibicarakan manakala Pol Pot mati pada 1998.

Disiarkan pada: November 17, 2018 @ 8:03am
d