global

Trofi Marilyn Monroe pecah rekod lelongan RM1.04j

Oleh Reuters

LOS ANGELES: Anugerah Golden Globe yang dimenangi simbol seks, Marilyn Monroe, memecah rekod jualan pada harga AS$250,000 (RM1.04 juta) yang diadakan Julien’s Auctions, Beverly Hills, California, kata pegawai bidaan semalam.

Patung anugerah 1961 bagi Pelakon Wanita Kegemaran Filem Dunia daripada

Hollywood Foreign Press Association mencipta sejarah sebagai jualan Golden Globe paling mahal pada majlis lelongan.

Kereta Ford Thunderbird dua tempat duduk berwarna hitam keluaran 1956, yang dilelong buat kali pertama, mencecah harga AS$490,000 (RM2.04 juta) pada acara Icons & Idols: Hollywood, yang dilangsungkan kelmarin dan semalam.

Monroe, salah seorang selebriti yang paling mendapat perhatian pengumpul barangan, dirakam memandu kereta itu bersama suaminya, Arthur Miller, sejurus selepas perkahwinan mereka pada Jun 1956.

Pelakon itu memiliki kenderaan itu selama enam tahun sehingga sejurus sebelum kematiannya pada 1962.

Presiden Julien’s Auctions, Darren Julien, berkata kereta itu bukan hanya sebahagian sejarah automotif tetapi datang dengan aura kemasyhuran, romantik dan tragedi legenda sebenar Hollywood.

Monroe memberikan kereta itu sebagai hadiah kepada anak lelaki jurulatih lakonannya, Lee Strasberg, pada 1962.

Salinan isu pertama majalah Playboy yang memaparkan Monroe di muka depan, ditandatangani penerbitnya, Hugh Hefner, dijual pada harga AS$32,000 (RM134,000) bersama-sama hampir 12 barangan lain yang dimiliki aktres itu.

Disiarkan pada: November 18, 2018 @ 2:48pm
d