global

Mangsa, pemangsa maut

Oleh Agensi

Madrid: Sekumpulan anjing dan rusa terjatuh dari tebing dalam satu acara memburu dalam kejadian dirakam video yang mencetuskan kemarahan aktivis haiwan selepas tular di media sosial.

Pemburu yang tidak dikenal pasti itu menggunakan anjing mereka untuk memerangkap beberapa rusa buruan sebelum ia terjatuh dari tebing.

Mirror Online melaporkan, kejadian menyayat hati itu berlaku berhampiran perkampungan Herreruela di wilayah barat Caceres, Sepanyol.

Menerusi rakaman video itu, terdengar suara orang ramai menjerit kepada pemburu terbabit bahawa anjing mereka tergelincir, malah tiga sudah terjatuh dari tebing dalam pada beberapa yang lain terus menyerang rusa diburu.

Pemburu terbabit gagal menyelamatkan anjing sebelum cuba menikam rusa dengan pisau, namun pada masa sama beberapa lagi anjing turut tergelincir dan terjatuh dari tebing bersama rusa.

Tidak dapat dipastikan sama ada semua haiwan berkenaan terselamat walaupun Pertubuhan Pemburuan Diraja Sepanyol memberitahu anjing berkenaan sudah dirawat di tempat kejadian sebelum dibawa ke klinik.

Selebriti dan ahli politik tempatan rata-rata menyelar kejadian itu, dengan seorang pemimpin parti berhaluan kiri, Pablo Iglesias berkata di Twitter: “Hanya satu gelaran untuk mereka yang bertanggungjawab bagi kejadian ini: penjenayah.”

Manakala parti politik PACMA yang lantang menentang aktiviti memburu berkata: “Kekejaman aktiviti memburu. Tiba masanya kita menuntut sikap tanggungjawab daripada ahli politik yang tidak sensitif terhadap kesengsaraan dan nyawa haiwan.”

Bagaimanapun, pelobi pemburu mempertahankan tindakan itu sambil menyifatkannya sebagai kes terpencil selain memburu adalah sifat semulajadi anjing.

Presiden Pertubuhan Memburu Diraja Sepanyol itu, Angel Lopez Maraver berkata, semua anjing berkenaan dirawat doktor, namun tidak menyatakan sama ada semuanya hidup.

Maraver turut menuduh pengkritik video itu sengaja menggunakan rakaman berkenaan untuk menghukum aktiviti memburu.

Disiarkan pada: November 20, 2018 @ 2:00pm
d