global

Ganti tugas ibu

Oleh Agensi

BEIJING: Seorang budak perempuan berusia 10 tahun kini menggalas tugas seperti seorang ibu selepas ibunya hilang ingatan dan memiliki kepintaran seperti kanak-kanak menyebabkan dia terpaksa mengajarnya membaca serta menguruskan diri.

Cai Chengcheng baru berusia enam tahun apabila ibunya, Chen Li mengalami pendarahan otak yang menyebabkan wanita itu hilang ingatan dan memiliki kepintaran seperti kanak-kanak kecil.

Sejak itu, setiap hari Cai mengajar Chen bagaimana untuk membaca, menulis dan bercakap, sama seperti ketika ibunya mendidiknya ketika kecil.

“Ketika saya kecil, ibulah yang mengajar saya bercakap dan membaca, kini adalah giliran saya pula mengajar ibu,” katanya kepada akhbar Chengdu Business Daily.

Cai yang tinggal di bandar Yibin bersama bapa dan abangnya memberitahu, dia masih ingat kali pertama ibunya pulang ke rumah selepas lama dirawat di hospital.

“Ibu duduk di kerusi roda, mata kirinya nampak normal tetapi mata kanannya memandang ke atas seperti dia tidak boleh melihat apa-apa.

“Ibu mengenali saya tetapi dia tidak dapat memanggil nama saya,” jelasnya.

Bapanya, Yong berkerja sepanjang hari di kedai runcit kecil miliknya manakala abangnya sibuk kerana baru memasuki sekolah tinggi menyebabkan hanya Cai mempunyai masa untuk menjaga ibunya.

Walaupun sibuk dengan tugas menjaga ibunya, Cai masih mampu memperoleh pencapaian cemerlang di sekolah.

Kerana dedikasi ketika menjaga ibunya, Cai diberi anugerah anak taat kepada ibu bapa oleh kerajaan tempatan Yibin dan juga daripada stesen penyiaran China, CCTV.

Disiarkan pada: November 20, 2018 @ 6:36pm
d