global

50 pembalak diculik Boko Haram

Oleh AFP

KANO (NIGERIA) : Kira-kira 50 pembalak dipercayai menjadi mangsa penculikan kumpulan militan Boko Haram di timur laut Nigeria bersempadan dengan Cameroon.

Menurut militan awam serta penduduk setempat, kesemua tebusan itu berasal dari penghuni kem perlindungan dan diculik oleh kumpulan yang menyokong Abubakar Shekau ketika sedang mengutip kayu, Sabtu lalu.

“Kesemua lelaki itu dikumpulkan sebelum dibawa pergi oleh pemberontak Boko Haram dan tiada maklumat mengenai mereka diketahui sehingga kini.

“Dua pembalak berjaya melepaskan diri dan menceritakan kejadian itu sebaik tiba di kampung,” kata ketua militan, Umar Kachalla.

Menurut Kachalla, beliau tidak memiliki jumlah tepat pembalak yang diculik namun kumpulan seperti itu lazimnya disertai 50 orang pada satu-satu masa.

Penculikan berkenaan berlaku di perkampungan Bulakesa, 25 kilometer dari pekan Gamburu di negeri Borno.

Kebangkitan kumpulan militan Boko Haram di rantau itu telah meragut ribuan nyawa dan menyebabkan lebih 2 juta penduduk kehilangan tempat tinggal di Nigeria.

Pada 2014, Boko Haram dalam satu insiden yang menggemparkan dunia telah menculik 276 kanak-kanak dan remaja perempuan berusia antara 12 hingga 17 tahun di sebuah sekolah di pekan terpencil Chibok, juga di dalam negeri Borno.

Disiarkan pada: November 23, 2018 @ 10:09am
d