global

6,000 ikan terancam, China henti bina jambatan

Oleh Reuters

SHANGHAI: China menghentikan pembinaan sebuah jambatan di wilayah Hubei selepas dikatakan menyebabkan kira-kira 6,000 ikan sturgeon China yang terancam mati, kata China Daily, memetik kementerian pertanian.

Pasukan penyiasat mendapati projek pembinaan di bandar Jingzhou itu menyalahi undang-undang dan dibina secara haram di rizab alam semula jadi yang dilindungi, kata akhbar itu.

Difahamkan, ikan itu dibiakkan di sebuah ‘aquafarm’ di Jingzhou. Ikan-ikan itu dipercayai mati akibat kejutan, bunyi bising dan perubahan sumber air yang dihasilkan oleh projek jambatan berkenaan.

Sturgeon China di ambang kepupusan akibat pencemaran, penangkapan ikan yang berlebihan dan pembinaan empangan hidroelektrik besar-besaran di sepanjang sungai Yangtze.

Pembangunan melampau sungai turut menjejaskan populasi spesies porpoise Yangtze selain menyebabkan kepupusan ikan lumba-lumba baiji yang turut dikenali sebagai ‘ikan duyung Yangtze’.

Sejumlah 1,085 haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang berasal dari China disenarai merah sebagai ‘spesies terancam’ global oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar.

Menurut laporan yang diterbitkan tahun lalu oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) China, 738 spesies yang dilindungi mencatatkan penurunan dari 2000 hingga 2015, dengan hanya 102 peningkatan sepanjang tempoh itu.

Disiarkan pada: November 23, 2018 @ 10:23am
d