global

Sambung usaha cari mangsa 'Camp Fire'

PARADISE: Hujan yang membanjiri utara California selama beberapa hari diramal berkurangan hari ini, menjadikan cuaca baik ketika pasukan penyelamat meneruskan usaha mencari mayat mangsa kebakaran hutan paling buruk dalam sejarah negeri itu.

Kebakaran digelar Camp Fire itu memusnahkan bandar Paradise, terletak 280 kilometer ke timur laut San Francisco pada 8 November lalu, mengorbankan sekurang-kurangnya 84 orang dan memusnahkan hampir 14,000 rumah.

Kira-kira 475 penduduk Paradise dan komuniti sekitar masih hilang, menurut senarai dikeluarkan Pejabat Sherif Butte.

Paradise adalah destinasi popular bagi pesara, dan dua pertiga mangsa yang dinamakan setakat ini berusia lebih 65 tahun.

Hujan sebanyak lima hingga lapan sentimeter yang turun di kawasan itu sejak beberapa hari lalu menjadikan abu ribuan rumah yang musnah itu bertukar kepada gabungan separuh cecair, menyukarkan kerja mencari mayat yang sudah tinggal serpihan tulang.

Sherif Daerah Butte, Kory Honea, memberi amaran mayat mangsa mungkin sudah tinggal serpihan tulang amat kecil dan sebahagiannya mungkin tidak akan ditemui.

Pasukan bomba mengawal 95 peratus kebakaran, yang membakar kawasan seluas 64,345 hektar, wilayah lima kali lebih besar daripada saiz San Francisco, kata jurucakap Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran California.

Penyiasat masih belum mengetahui punca kebakaran. —Reuters

Disiarkan pada: November 25, 2018 @ 1:05am
d