global

PBB izin kereta api, jalan raya rentas Korea

Oleh Reuters

Seoul: Korea Selatan menerima pengecualian sekatan daripada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk melakukan tinjauan bersama laluan kereta api merentas Korea.

Ia langkah pertama arah menyambung semula landasan kereta api dan jalan raya yang disekat sejak Perang Korea pada 1950 hingga 1953.

April lalu, pemimpin kedua-dua negara Korea itu bersetuju untuk menyambung semula laluan kereta api dan jalan raya sebagai sebahagian usaha meningkatkan hubungan dua hala.

“Pengecualian sekatan itu mempunyai implikasi besar memandangkan projek berkenaan mendapat pengiktirafan dan sokongan Amerika Syarikat dan masyarakat antarabangsa,” kata jurucakap presiden Korea Selatan, Kim Eui-kyeom.

Beliau berharap pembinaan laluan kereta api yang akan dilaksanakan dengan segera, membawa kerjasama dua negara Korea itu ke tahap baru.

Korea Selatan meminta pengecualian bagi penghantaran bahan bakar dan peralatan lain yang diperlukan untuk tinjauan laluan kereta api itu.

Pyongyang berdepan sekatan ekonomi PBB berikutan program senjata nuklear dan peluru berpandunya.

Disiarkan pada: November 25, 2018 @ 8:05am
d