global

Adik presiden seludup dadah

Oleh Agensi

Miami (Florida): Tidak sampai setahun selepas ketua sindiket dadah mengakui bertemu adik Presiden Honduras bagi membincangkan pembayaran balik hutang berkaitan pengubahan wang haram, Juan Antonio ‘Tony’ Hernandez ditahan pihak berkuasa Amerika Syarikat semalam.

Menurut Miami Herald, Juan Antonio ditahan ejen persekutuan Amerika di Miami bagi tuduhan menyeludup kokain ke Amerika dan kes berkaitan senjata.

Menurut Ketua Perhubungan Awam Pejabat Peguam Negara di New York, James Margolin, Juan Antonio akan dihadapkan ke mahkamah di Miami Isnin ini.

Pejabat Presiden Honduras mengeluarkan kenyataan semalam, mengesahkan penahanan Juan Antonio itu.

Menurut Reuters, bekas peguam dan pembuat dasar parti pemerintah berusia 40 tahun terbabit adalah suspek terbaru dalam kalangan individu ternama Honduras yang ditahan di Amerika kerana terbabit dalam penyeludupan dadah selepas tiga anggota kongres ditahan sebelum ini.

“Ia tamparan hebat kepada keluarga.

“Saya berharap sistem keadilan negara memberi ruang kepada beliau untuk mempertahankan diri dan sebagai keluarga, kami akan melakukan apa yang terdaya bagi menyokongnya,” kata Presiden Juan Orlando Hernandez kepada wartawan di Honduras.

Ketua kumpulan Cachiros ketika memberi keterangan dalam perbicaraan pada Mac 2017 di New York berkata, Juan Antonio menerima rasuah untuk mengubah wang kumpulan berkenaan.

Bekas Presiden, Porfirio Lobo yang mentadbir Honduras antara 2010 dan 2014 turut dikaitkan dengan pertubuhan jenayah Cachiro dalam perbicaraan di AS namun menafikan kesemua pertuduhan.

Tahun lalu, anak lelaki Lobo mengaku bersalah di mahkamah Amerika bagi tuduhan bersubahat mengimport kokain dan dijatuhkan hukuman penjara 24 tahun.

Disiarkan pada: November 25, 2018 @ 9:01am
d