global

Guna ikan sebagai bahan api kapal

Oleh AFP

OSLO: Syarikat kapal persiaran di Norway merancang untuk menggunakan ikan mati sebagai bahan api kapal, ketika syarikat itu berusaha mengurangkan pencemaran dan impak perubahan iklim.

Sisa ikan mati daripada industri perikanan Norway yang besar akan dicampur dengan sisa organik lain untuk menghasilkan biogas.

Ia akan digunakan berbanding minyak bahan bakar berat, ketika ini, kata Hurtigruten yang turut menawarkan perkhidmatan kapal persiaran ke Artik dan Antartika.

“Apa yang dipandang pihak lain sebagai masalah, kami melihatnya sebagai sumber dan penyelesaian.

“Pengenalan biogas sebagai bahan bakar kapal persiaran akan menjadikan Hurtigruten sebagai syarikat kapal persiaran pertama menggerakkan kapal menggunakan bahan bakar bukan bahan api fosil,” kata ketua eksekutif syarikat, Daniel Skjeldam.

Kapal biogas pertama syarikat itu akan siap seawal akhir tahun depan, menurut jurucakapnya, Rune Thomas Ege.

Syarikat itu menyasarkan enam daripada 17 kapalnya mampu menggunakan gabungan bahan bakar daripada biogas, bateri dan gas asli cecair iaitu bahan api fosil paling bersih menjelang 2021.

Norway mempunyai industri perikatan dan perhutanan besar yang menghasilkan sisa organik meluas, ia sudah mempunyai bas yang menggunakan biogas sebagai bahan api.

Disiarkan pada: November 27, 2018 @ 11:06am
d