global

Beyonce, Jay-Z sertai konsert memperingati Mandela

Oleh AFP

JOHANNESBURG: Penyanyi popular Amerika Syarikat, Beyonce Knowles, mengetuai barisan bintang termasuk suaminya, Jay-Z, Ed Sheeran dan Usher pada konsert menghormati kehidupan dan legasi bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela, semalam.

Konsert adalah kemuncak acara tahun ini yang meraikan ulang tahun ke-100 kelahiran Mandela pada 1918, dan sebahagian kempen menangani kemiskinan, kekurangan zat kanak-kanak dan meningkatkan kesaksamaan jantina.

Festival Global Citizen tahun ini diadakan di stadium FNB di Johannesburg yang boleh menempatkan 94,736 penonton dan menyaksikan Beyonce menyampaikan beberapa lagu popular beliau selain berduet dengan Sheeran.

Ribuan peminat muzik, kebanyakannya mendapat tiket percuma sebagai penghargaan kepada usaha dan kempen mereka, membanjiri stadium beberapa jam sebelum ia bermula.

“Saya bangga menjadi sebahagian pergerakan penduduk dunia kerana mereka cuba memberikan impak positif kepada kehidupan orang ramai terutama isu wanita dan kanak-kanak.

“Saya sukakan persembahan Dbanj dan sudah tentu Queen B dan Jay-Z, walaupun ia sekejap,” kata Nokthula Khuzwayo, 23, dari Soweto.

Ketika menyampaikan lagu XO, Beyonce, yang memakai baju gabungan warna merah jambu-merah dan memberikan penghormatan kepada Mandela, menarik perhatian orang ramai.

Selain bintang dunia termasuk Pharrell Williams dan penyanyi kumpulan Coldplay, Chris Martin, Presiden South Cyril Ramaphosa turut menjadi hos kepada ketua negara dari Ghana, Rwanda dan Sierra Leone.

Disiarkan pada: December 3, 2018 @ 10:41am
d