global

Bayi pertama lahir menerusi pemindahan rahim

Oleh Agensi

PARIS: Bidang perubatan mencatatkan sejarah apabila seorang wanita yang menerima rahim menerusi pembedahan pemindahan daripada penderma yang sudah meninggal dunia, melahirkan anak, kata penyelidik hari ini.

Prosedur bersejarah itu, yang dibuat di Brazil dua tahun lalu, menunjukkan pembedahan pemindahan seumpama itu boleh dilakukan dan dapat membantu ribuan wanita yang tidak boleh melahirkan anak disebabkan masalah rahim, menurut kajian yang disiarkan dalam jurnal perubatan Lancet.

Bayi perempuan itu dilahirkan pada September 2016 di Sao Paolo.

“Kejayaan ini menunjukkan bukti pilihan baru untuk wanita yang mengalami masalah kesuburan rahim,” kata Dr Dani Ejzenberg di Universiti Sao Paolo, menyifatkan prosedur itu sebagai ‘pencapaian penting perubatan’.

Penerima ialah wanita 32 tahun yang dilahirkan tanpa rahim manakala penderma berusia 45 tahun yang meninggal dunia kerana serangan angin ahmar.

Rahimnya dikeluarkan dan dipindahkan dalam pembedahan yang berlanjutan lebih 10 jam.

Sehingga baru-baru ini, satu-satunya pilihan yang ada untuk wanita dengan masalah kesuburan rahim adalah dengan mengambil anak angkat atau menggunakan kaedah ibu tumpang.

Kejayaan pertama kelahiran tetapi menyebabkan kematian susulan pemindahan rahim daripada penderma masih hidup berlaku pada 2013 di Sweden tetapi ada 10 lagi kes sejak itu.

Disiarkan pada: December 5, 2018 @ 10:01am
d