global

Nak lanjutkan undang-undang tentera

Oleh AFP

PRESIDEN Rodrigo Duterte, hari ini meminta ahli perundangan melanjutkan undang-undang tentera di seluruh selatan Filipina hingga akhir 2019 dalam usaha mengekang keganasan berterusan di wilayah terpencil itu, kata pegawai.

Permintaan Duterte itu, yang akan diluluskan seawal minggu hadapan, dikemukakan di sebalik kritikan yang menyuarakan kebimbangan langkah itu mengancam hak asasi manusia dan menjadikan beliau lebih berkuasa.

Bagaimanapun, jurucakap presiden, Salvador Panelo, berkata lanjutan ketiga itu diperlukan di Mindanao untuk melindungi negara dan rakyatnya.

“Penangguhan cuma menjejaskan kemajuan yang kita saksikan di Mindanao dan mungkin mengukuhkan pemberontakan dan membolehkan ia menular ke bahagian lain negara ini,” kata Panelo dalam kenyataan.

Duterte, pada awalnya meletakkan Mindano di bawah undang-undang tentera selepas penyerang yang mengibarkan bendera Daesh menyerang bandar raya Marawi pada Mei 2017, mencetuskan peperangan lima bulan yang meragut 1,200 nyawa.

Undang-undang tentera membolehkan tentera mengenakan kawalan dengan langkah seperti melaksanakan perintah berkurung, mendirikan pusat pemeriksaan dan mengawal senjata di negara yang membolehkan penduduk awam memiliki senjata api.

Ia adalah perkara sensitif di Filipian kerana undang-undang tentera digunakan bekas diktator Ferdinand Marcos untuk terus berkuasa selama dua dekad, yang berakhir pada 1986 dengan kebangkitan rakyat.

Tentera dan ketua polis mencadangkan kepada Duterte supaya mengekalkan undang-undang tentera di kawasan itu selepas 31 Disember ini untuk mengekang keganasan berterusan oleh pemisah Islam lain dan gerila komunis.

Namun pengkritik memberi amaran satu lagi lanjutan langkah itu tidak boleh difahami selepas salah guna yang berlaku sebelum itu.

“Mangsa undang-undang tentera adalah hak rakyat iaitu hak sivil, politik dan asasi manusia,” kata ahli perundangan pembangkang, Edecl Lagman.

Disiarkan pada: December 7, 2018 @ 11:49pm
d