global

Raja Dadah Bolivia lolos diri

Oleh Reuters

LA PAZ : Seorang lelaki berusia 67 tahun yang dianggap antara penyeludup dadah terbesar di Amerika Selatan pada tahun 1980an berjaya melarikan diri dari sebuah klinik swasta di ibu negara, kata polis semalam.

Jorge Roca Suarez berada di Bolivia sejak April tahun ini selepas hakim Amerika Syarikat (AS) memerintahkan dia diberi pembebasan awal, 28 tahun selepas menjalani hukuman penjara 36 tahun atas kesalahan menyeludup dadah.

Sebaik tiba di La Paz, dia diperintahkan menjalani hukuman penjara selama 15 tahun atas kesalahan sama tetapi dimasukkan ke sebuah klinik swasta awal bulan ini atas rawatan yang tidak dinyatakan.

Dia bagaimanapun berjaya melarikan diri antara malam Jumaat dan Sabtu tanpa dapat dikesan, kata polis.

“Polis Bolivia sudah mengaktifkan semua kemudahan risikan mereka,” kata Timbalan Pengarah Pasukan Khas Memerangi Jenayah La Paz, Fernando Rojas.

“Kami akan membantu pasukan mencari menangkap lelaki ini,” katanya.

Roca Suarez, dikenali di Bolivia sebagai ‘Roof of Straw’ adalah rakan subahat Raja Dadah Colombia, Pablo Escobar dan anak saudara lelakinya, Roberto Suarez Gomez atau dikenali sebagai Raja Kokain yang menawarkan diri untuk membayar hutang luaran Bolivia dengan menggunakan pendapatan haramnya pada tahun 1980an.

Pada Julai lalu, barisan peguam lelaki berkenaan berjaya mendapatkan pembebasan bersyarat Roca Suarez atas faktor perubatan tetapi hakim pada pertengahan November lalu membatalkan kebenaran itu dan mengarahkan dia kembali ke penjara.

Polis tidak memberikan maklumat lanjut berhubung kejayaan Roca Suarez melarikan diri manakala peguamnya tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.

Disiarkan pada: December 9, 2018 @ 9:18am
d