global

Pawang Brazil nak 'sembuh' konon

Oleh AFP

BEBERAPA wanita mendakwa didera secara seksual oleh seorang pawang yang terkenal di peringkat antarabangsa atas alasan menyembuhkan mereka dari masalah dihadapi.

Tuduhan terhadap Joao Teixeira de Faria, 76 atau lebih dikenali sebagai ‘Joao de Deus’ dibuat lewat Jumaat lalu menerusi program yang mendapat tontonan meluas terbitan rangkaian Global Television.

Seorang koreografer Belanda dikenali sebagai Zahira Leeneke Maus dan sembilan wanita Brazil yang enggan dikenali mendakwa Faria memaksa mereka melakukan seks oral ke atas dirinya sendiri sebagai satu-satunya cara untuk memindahkan tenaga bagi proses rawatan.

Maus juga memberitahu program itu bahawa beliau turut diperkosa pawang terbabit.

Akhbar O Globo kemudian melaporkan telah menemuramah dua lagi wanita yang menceritakan kejadian sama, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa seramai 12 orang.

Kesemua wanita terbabit berkata, mereka berusia dalam lingkungan 30-an apabila kejadian berkenaan berlalu di pusat rawatan milik Faria di pekan Abadiania berhampiran ibu negara, Brasilia.

Laman web berita Globo, G1 memetik perkhidmatan media Faria sebagai berkata, pawang itu menggunakan kuasa dimiliki untuk menyembuhkan ribuan pesakit sejak 44 tahun lalu dan menafikan sebarang perlakuan sumbang sepanjang tempoh rawatan.

Reputasi dimiliki Faria menjadikan beliau amat terkenal di luar Brazil termasuk Amerika Syarikat, Eropah dan Australia.

Selebiriti dan penerbit televisyen, Oprag Winfrey pernah melawat Faria pada 2013 untuk melihat sendiri ‘keajaiban’ dimiliki lelaki berkenaan.

Disiarkan pada: December 9, 2018 @ 5:25pm
d