global

CEO Twitter dikecam promosi Myanmar

Oleh Agensi

CALIFORNIA: Ketua Eksekutif Twitter, Jack Dorsey, berhadapan kritikan baru kerana mempromosikan Myanmar sebagai destinasi pelancongan di sebalik dakwaan pencabulan hak asasi manusia dilakukan di negara itu.

Dalam siri tweet, Dorsey berkata beliau mengunjungi utara Myanmar November lalu untuk bercuti.

“Penduduk di situ menyeronokkan dan makanan mengagumkan,” katanya sebelum menggalakkan empat juta pengikut melancong ke Myanmar.

Ia membawa kepada kritikan terhadap Dorsey, sebahagian menuduh beliau tidak peduli kepada nasib yang menimpa minoriti Islam Rohingya.

Pada 2017, tentera Myanmar melancarkan kekerasan selepas pemberontak Rohingya melakukan serangan ke atas beberapa pos polis.

Ribuan maut dan pertubuhan hak asasi manusia berkata tentera membakar ladang dan membunuh serta merogol etnik Rohingya.

“Menulis apa yang menjadi iklan pelancongan percuma untuk Myanmar pada masa ini adalah tidak wajar,” kata seorang pengguna Twitter menulis sebagai reaksi kepada tweet Dorsey.

Seorang lagi menulis: “Ini adalah cadangan amat tidak bertanggungjawab.

“Adakah beliau tidak memberi perhatian kepada berita dan kemarahan di platform sendiri?” kata seorang lagi.

Disiarkan pada: December 10, 2018 @ 1:35pm
d