global

Australia iktiraf Baitulmaqdis ibu negara Israel

Oleh AFP

SYDNEY: Australia mengiktiraf Baitulmaqdis barat sebagai ibu negara Israel tetapi memilih untuk menangguhkan pemindahan pejabat kedutaan ke Tel Aviv sehingga perjanjian keamanan dicapai, kata Perdana Menteri, Scott Morrison, hari ini.

Morrison berkata, negara itu juga memberikan komitmen untuk mengiktiraf negara Palestin dengan Baitulmaqdis timur sebagai ibu negara apabila kedudukan bandar itu sudah diputuskan dalam perjanjian damai.

“Australia kini mengiktiraf Baitulmaqdis yang menempatkan Knesset (Parlimen) dan kebanyakan institusi kerajaan sebagai ibu negara Israel,” kata Morrison ketika berucap di sini, hari ini.

Kebanyakan negara luar mengelak memindahkan kedutaan mereka kerana tidak mahu menjejaskan rundingan damai yang kini berada pada peringkat akhir, hanya Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memindahkan kedutaan negara itu, awal tahun ini.

“Kami merancang untuk memindahkan kedutaan kami ke Baitulmaqdis apabila keadaan mengizinkan, sebagai tanda sokongan dan selepas keputusan akhir diputuskan,” kata Morrison sambil menambah kerja-kerja di tapak baharu kedutaan sedang berjalan.

Sementara itu, Morrison berkata, Australia bakal menempatkan pejabat pertahanan dan perdagangan di bahagian barat, kota suci itu.

“Selain itu, sebagai mengiktiraf komitmen kami terhadap penyelesaian pertikaian dua negara, kerajaan Australia juga memutuskan untuk mengiktiraf aspirasi rakyat Palestin sebagai sebuah negara di masa depan dengan Baitulmaqdis timur sebagai ibu negara,” katanya.

Morrison mula meminda dasar luar negara itu pada Oktober lalu, hingga mengundang kemarahan negara jirannya, Indonesia.

Disiarkan pada: December 15, 2018 @ 6:43pm
d