global

Padah hidu stoking

Oleh Agensi

Beijing: Tabiat pelik seorang lelaki di China yang ketagih menghidu stoking busuknya setiap hari akhirnya membawa padah apabila dia mengalami jangkitan kulat yang teruk pada paru-parunya.

Menurut laporan media tempatan, setiap hari lelaki berasal dari Zhangzhou, tenggara China itu akan menghidu stoking dipakainya selepas balik bekerja.

Mirror Online melaporkan, selepas pulang dari bekerja, lelaki itu menukar pakaian tetapi akan menghidu stoking yang dipakainya sepanjang hari.

Tabiat pelik itu menyebabkan paru-parunya dijangkiti kulat yang terdapat pada stoking yang terbentuk akibat kakinya yang berpeluh.

Spora kulat yang terdapat pada stoking tersebar ke paru-parunya apabila dia menghidu pakaian berkenaan.

Jangkitan itu menyebabkan lelaki berkenaan mengalami batuk yang teruk dan sukar bernafas hingga terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.

Doktor yang membuat imbasan X-ray mendapati lelaki itu mengalami jangkitan yang teruk pada paru-paru.

Laporan perubatan kemudian mengesahkan jangkitan itu berpunca daripada tabiatnya yang ketagih menghidu stoking setiap hari.

Lelaki yang tidak dinamakan itu ditahan di hospital untuk rawatan lanjut sebelum dibenarkan keluar selepas keadaannya pulih.

Ketagihan pada bau stoking pernah dilaporkan media di beberapa negara sebelum ini tetapi ini kali pertama menyebabkan pelakunya di masukkan ke hospital.

Pada awal tahun ini, seorang lelaki di Amerika Syarikat dilaporkan sanggup membayar sejumlah wang kepada wanita untuk mendapatkan stoking busuk yang dipakai mereka.

Disiarkan pada: December 18, 2018 @ 3:00pm
d