global

Dron lumpuhkan Lapangan Terbang Gatwick

Oleh Agensi

LONDON: Pihak berkuasa yakin suspek yang menerbangkan dron di Lapangan Terbang Gatwick yang menyebabkan lapangan terbang itu ditutup dua hari mulai kelmarin, adalah penggodam berkelulusan tinggi.

Menurut sumber, lelaki berkelulusan doktor falsafah (PhD), seseorang yang mempunyai kemahiran mengendalikan dron dan bukan melakukannya kerana hobi.

Menurut Daily Mail, pakar dron, Carys Kaiser berkata, perbuatan itu dilakukan secara terancang.

“Ia sesuatu yang dilakukan secara terancang dalam kapasiti tertentu kerana perisian komputer dron yang saya atau orang lain guna tidak membenarkan dron memasuki kawasan lapangan terbang.

“Namun individu yang melakukan serangan ini menggodam sistem dron berkenaan dan melakukan ubah suai tertentu,” katanya.

Menurut Reuters, mulai semalam, teknologi tentera digunakan tentera Britain bagi mengawal lapangan terbang itu apabila ia kembali dibuka selepas 36 jam lumpuh.

Menurut Menteri Pengangkutan, Chris Grayling, teknologi tentera itu mampu menjamin keselamatan pesawat.

Kejadian itu menyebabkan kira-kira 700 penerbangan dibatalkan atau tertangguh membabitkan lebih 100,000 penumpang.

Tidak dapat dipastikan jumlah dron diterbangkan ‘penyerang’ kerana ada laporan menyatakan hanya dua namun ada juga menyebut lebih daripada 10 dron.

Polis Britain mempertimbangkan menembak jatuh dron besar yang menjadi penyebab gangguan dan kekacauan di lapangan terbang itu yang terbang lebih 50 kali di ruang udara lapangan terbang.

Disiarkan pada: December 22, 2018 @ 6:00am
d