global

Dron, anjing bantu kesan mangsa tsunami

LABUAN (Indonesia): Pasukan penyelamat, hari ini menggunakan dron dan anjing pengesan untuk mengesan mangsa yang terselamat di sepanjang pantai barat Pulau Jawa, susulan kejadian tsunami yang melanda kawasan itu, Sabtu lalu.

Sehingga kini, Anak Krakatau masih mengeluarkan debu tebal, selepas runtuhan sebahagian gunung berapi yang memasuki laut mengakibatkan tsunami menimpa kawasan pantai Selat Sunda, iaitu antara pulau Sumatera dan Jawa.

Pihak berkuasa mengesahkan sekurang-kurangnya 128 penduduk masih hilang, manakala lebih 1,400 lagi cedera, kebanyakannya pelancong tempatan.

Ribuan lagi penduduk terpaksa berlindung di kawasan lebih tinggi, selepas amaran ombak besar dikeluarkan sehingga esok.

Selain jentera berat dan anjing pengesan, pasukan penyelamat turut menggunakan kamera khas untuk mengesan mangsa di bawah lumpur dan runtuhan di sepanjang pantai sejauh 100 kilometer, malah operasi menyelamat akan diperluas sehingga ke selatan.

“Ada beberapa kawasan yang dianggap tidak terjejas sebelum ini, tetapi operasi mencari sudah sampai ke pedalaman dan kami dapati ada ramai mangsa yang terjejas akibat tsunami di sana,” kata jurucakap Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan Indonesia (BASARNAS), Yusuf Latif.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Kebangsaan Indonesia untuk Pengurusan Bencana (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho berkata, seramai 373 mangsa disahkan maut, sementara 128 lagi masih hilang. - Reuters

Lagi berita berkaitan Tragedi Tsunami Sunda

Disiarkan pada: December 25, 2018 @ 2:16pm
d