global

Cuaca melampau jejas Anak Krakatau

Oleh Agensi

KEADAAN cuaca melampau yang menyelubungi sekitar gunung berapi Anak Krakatau, Indonesia diramal bakal menyumbang kejadian tsunami kedua di Selat Sunda.

Ketua Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG), Dwikorita Karnawati berkata, pihaknya sedang memantau semua aktiviti gegaran di Anak Krakatau, terutama ketika ini cuaca melampau dan ombak besar dilaporkan direkodkan di kawasan itu.

“Keadaan cuaca itu boleh mengakibatkan runtuhan pada bahagian gunung berapi, sekali gus meluncur masuk ke dalam laut dan menyebabkan berlakunya tsunami,” katanya pada sidang media di Banten, semalam.

Malah, beliau menyatakan kebimbangannya bahawa keadaan hujan lebat di kawasan itu yang diramal hingga hari ini, boleh menyumbang kepada kejadian tanah runtuh.

“Dinding kaldera atau lekukan berbentuk bulat pada gunung berapi dikesan semakin rapuh, terutama jika hujan lebat mengalir ke atasnya,” kata Dwikorita.

Berikutan potensi berlakunya insiden tanah runtuh dasar laut dan tsunami itu, beliau meminta orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan tidak menghampiri kawasan pantai pada jarak antara 500 meter hingga satu kilometer.

Sementara itu, Kerajaan Indonesia sudah mengarahkan satu siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tsunami 22 Disember lalu.

Tsunami yang melanda kawasan pantai wilayah Banten dan Lampung itu mengakibatkan 429 maut, manakala 1,485 mangsa cedera dan kira-kira 154 lagi masih hilang, selain lebih 16,000 penduduk hilang tempat tinggal.

Menteri Hal Ehwal Penyelarasan Maritim, Luhut Pandjaitan berkata, sekumpulan pakar dari BMKG, Agensi Penilaian dan Penerapan Teknologi (BPPT) serta Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral akan menjalankan kajian geologi marin dan batimetrik, iaitu penyelidikan topografi dasar laut di sekitar Anak Krakatau.

Beliau berkata, pasukan terbabit akan memulakan kajian itu, sebaik sahaja keadaan di sekeliling Anak Krakatua mengizinkan mereka ke kawasan berkenaan.

“Tsunami itu bukan berpunca daripada gempa bumi akibat letusan gunung berapi tetapi berikutan runtuhan seluas 64 hektar pada sebahagian Anak Krakatau.

Ia adalah hasil analisis data yang diperoleh dari seismograf, alat pengukur pasang surut, imej satelit dan interferometer mengenai kejadian runtuhan pada sebahagian gunung berapi, susulan gegaran serta kadar intensiti tinggi hujan di kawasan itu.

“Keadaan cuaca menyebabkan kapal yang membawa pakar terbabit tidak boleh ke lokasi Anak Krakatau lebih awal.

“Kapal Baruna Jaya milik tentera laut dijangka ke kawasan itu selepas 25 Disember, mungkin pada 27 atau 28 Disember ini bagi menjalankan operasi pemetaan dasar laut,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan tsunami Selat Sunda
  • Disiarkan pada: December 26, 2018 @ 3:07pm
    d