global

Indonesia lencong laluan penerbangan elak Anak Krakatau

Oleh Reuters

JAKARTA: Indonesia hari ini mengarahkan semua penerbangan yang melalui gunung berapi Anak Krakatau di antara pulau Jawa dan Sumatera dilencongkan selepas ia aktif memuntahkan debu ke udara beberapa hari selepas mencetus tsunami yang mengorbankan ratusan nyawa.

Saintis berpendapat runtuhan lereng di bahagian selatan gunung berapi itu ke dalam laut membentuk gelombang hingga 5 meter tinggi sebelum membadai dan menghancurkan pantai di Selat Sunda, membunuh lebih daripada 400 orang Sabtu lalu.

“Semua penerbangan dilencongkan berikutan amaran merah akibat debu gunung berapi Anak Krakatau,” kata agensi kawalan trafik udara kerajaan, AirNav dalam satu kenyataan.

Pihak berkuasa menaikkan tahap amaran gunung berapi ke tahap kedua tertinggi hari ini, sekali gus menguatkuasakan zon pengecualian pada jarak lima kilometer.

Disiarkan pada: December 27, 2018 @ 12:14pm
d