global

Sampai hati cikgu...

Oleh AFP

BEIJING: Guru tadika dihukum penjara 18 bulan selepas didapati bersalah mendera kanak-kanak dengan cara mencucuk jarum.

Bagaimanapun, netizen di seluruh China membantah kerana menganggap hukuman dijatuhkan terhadap guru terbabit terlalu ringan.

Guru di tadika RYB Education New World itu didapati mencucuk kanak-kanak menggunakan jarum pada November 2017, lapor mahkamah Chaoyang di Beijing.

Perbuatan menganiaya dilakukan oleh wanita dikenali sebagai Liu Yanan mencetuskan kemarahan pelbagai pihak di seluruh negara itu.

Siasatan dilancarkan terhadap tadika berkenaan selepas ibu bapa menemui kesan anak mereka dicucuk jarum ketika belajar di sekolah dwi bahasa Cina dan Inggeris untuk golongan berada itu.

Terdapat beberapa dakwaan lain kanak-kanak di sekolah itu turut menjadi mangsa dipaksa menelan pil tidak diketahui apa tujuannya.

“Peri laku guru terbabit menjejaskan kesihatan mental dan fizikal kanak-kanak itu,” menurut kenyataan mahkamah meskipun tidak menyebabkan kecederaan kekal.

Liu turut diharamkan daripada bergaul dengan kanak-kanak di tempat kerja selama lima tahun selepas tamat menjalani hukuman.

Kecaman paling lantang dibuat golongan netizen yang marah mengapa tiada pegawai dikenakan hukuman.

Tiga pegawai Kementerian Pendidikan di Beijing disiasat atas dakwaan kurang memantau keadaan tetapi kes itu belum menunjukkan kemajuan.

Skandal ini bukan kali pertama membabitkan RYB.

Pada April 2017, ketua sebuah tadika Beijing digantung tugas selepas video tular menunjukkan beberapa guru melontar kanak-kanak ke katil manakala seorang lagi menendang kanak-kanak.

Disiarkan pada: December 28, 2018 @ 6:04pm
d