global

Penyelam British terima anugerah diraja Britain

Oleh AFP

LONDON: Pasukan penyelam British yang membantu menyelamatkan pasukan bola sepak kanak-kanak yang terkandas di dalam sebuah gua banjir di Thailand menjadi antara penerima anugerah kehormat tradisi Britain bersempena Tahun Baru, yang diumumkan semalam.

Tujuh pakar penyelam yang terbabit dalam operasi menyelamat luar biasa itu antara yang tersenarai sebagai penerima anugerah berprestij itu tahun ini disamping sutradara Hollywood, Christopher Nolan dan bekas model terkenal, Lesley Lawson atau Twiggy.

Turut tersenarai adalah pelakon siri komedi ‘Monty Python’, Michael Palin, pelakon siri ‘Downtown Abbey’ Jim Carter, penulis tersohor, Philip Pullman dan pejuang utama Brexit, penggubal undang-undang, John Redwood.

Empat daripada penyelam itu diberi anugerah atas keberanian luar biasa mereka manakala tiga yang lain dianugerahkan sebagai ‘Members of the Most Excellent Order of the British Empire (MBE).

Richard Stanton dan John Volanthen, dua penyelam paling awal tiba ke lokasi 12 kanak-kanak dan jurulatih mereka terkandas, dianugerahkan Pingat George, pingat keberanian awam kedua tertinggi di negara itu.

Stanton tersenarai sebagai ahli MBE pada 2012 di atas khidmatnya sebagai penyelamat.

Penyelam lain termasuk Christopher Jewell dan Jason Mallinson menerima Pingat Keberanian Ratu, manakala Joshua Bratchley, Connor Roe dan Vernon Unsworth menerima penghormatan sebagai ahli MBE.

Disiarkan pada: December 29, 2018 @ 3:03pm
d