global

Korban pesawat penumpang komersil meningkat pada 2018

Oleh Reuters

WASHINGTON: Kadar kematian akibat nahas pesawat jet penumpang di seluruh dunia melonjak pada 2018 selepas syarikat penerbangan mencatat sifar kematian akibat kemalangan udara tahun sebelumnya, lapor sebuah firma perunding Belanda dan sebuah kumpulan keselamatan penerbangan.

Firma perunding penerbangan Belanda To70 dan Rangkaian Keselamatan Penerbangan (ASN) melaporkan semalam terdapat lebih daripada 500 kematian yang berpunca daripada nahas pesawat penumpang pada 2018, namun menegaskan bahawa kemalangan maut masih jarang berlaku.

To70 menganggarkan kadar kemalangan maut untuk pesawat penumpang komersil besar adalah pada 0.36 untuk setiap sejuta penerbangan, atau satu kemalangan maut bagi setiap 3 juta penerbangan.

Ia meningkat daripada 0.06 juta pada 2017 dan melebihi purata lima tahun terakhir sebanyak 0.24 untuk setiap sejuta penerbangan.

Sejumlah 13 kematian dicatatkan pada 2017 dalam dua kemalangan maut di seluruh dunia, tetapi kedua-duanya membabitkan pesawat turboprop serantau.

Sepanjang dua dekad lalu, kematian di dalam penerbangan di seluruh dunia menurun. Sehingga 2005, terdapat 1,015 kematian dalam penerbangan penumpang komersial di seluruh dunia, kata ASN.

Walaupun mencatat kenaikan, 2018 masih dianggap tahun ketiga paling selamat dari segi jumlah kemalangan maut dan kesembilan paling selamat jika diukur daripada jumlah kematian, kata ASN lagi.

Disiarkan pada: January 2, 2019 @ 1:03pm
d