global

Barbie sambut ulang tahun ke-60

Oleh AFP

EL SEGUNDO (Amerika Syarikat): Patung Barbie yang popular dalam kalangan kanak-kanak dan remaja perempuan kini berusia 60 tahun, sejak ia ‘dilahirkan’ di Pesta Barang Mainan Amerika Syarikat di New York pada 9 Mac 1959.

Sejak itu, lebih satu bilion patung Barbie dijual di seluruh dunia, tidak kira sama ada ia berambut perang atau coklat, berkulit hitam atau putih, atau menampilkan watak puteri raja atau presiden.

Malah, patung Barbie yang tidak memiliki sebarang kedut di wajahnya itu, sentiasa berusaha menyesuaikan dirinya dengan keadaan semasa dan perubahan zaman.

Justeru, walaupun berdepan dengan persaingan sengit dalam industri barang permainan, sebanyak 58 juta patung Barbie berjaya dijual setiap tahun di lebih 150 negara di seluruh dunia.

“Dalam industri di mana kejayaan dilihat dalam tempoh tiga hingga lima tahun, tempoh 60 tahun adalah sesuatu yang menakjubkan,” kata pengarah pemasaran jenama global Barbie, Nathan Baynard.

Baynard ketika ditemui pada sesi lawatan ke studio reka bentuk Barbie di El Segundo, Los Angeles, berkata, patung itu dikenali di seluruh dunia seperti Coca-Cola atau McDonald’s.

Mengulas lanjut, beliau berkata, patung Barbie adalah hasil ciptaan Ruth Handler, iaitu pengasas bersama Mattel.

“Patung Barbie terhasil berdasarkan pengalaman Handler bersama anak-anaknya.

“Anak perempuannya, Barbara menghadapi kesukaran kerana pilihan anak patung yang terhad dan yang ada ketika itu hanyalah patung bayi.

“Jadi, dia hanya boleh membayangkan untuk memainkan peranan sebagai pengasuh dan ibu, sedangkan anak Handler sering mengimpikan untuk menjadi seorang angkasawan, koboi, juruterbang dan pakar bedah,” kata Baynard.

Sebenarnya, Baynard mendedahkan bahawa Barbie adalah nama panggilan singkat Barbara, iaitu nama anak perempuan Handler.

“Patung Barbie sepatutnya mengajar kanak-kanak dan remaja perempuan bahawa mereka mempunyai pilihan dan boleh melakukan apa sahaja.

“Namun, pada 1959, ia adalah satu idea yang radikal,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, Barbie berjaya mencatatkan kejayaan apabila berjaya dijual sebanyak 300,000 pada tahun pertama ia dikeluarkan.

Disiarkan pada: January 2, 2019 @ 9:47pm
d