global

Rempuh kereta polis, tikam orang awam sebelum bunuh diri

Oleh Reuters

SYDNEY: Seorang lelaki merempuh kereta peronda polis dengan kenderaan pacuan empat roda sebelum merampas sebuah lori dan teksi, merempuh empat lagi kereta dan menikam seorang mangsa sebelum membunuh dirinya di depan polis di sini, semalam.

Rantaian kejadian dramatik itu bermula selepas polis mengarahkan sebuah kenderaan pacuan empat roda berhenti untuk pemeriksaan kerana tiada nombor plat.

Pemandu itu merempuh kereta polis sebelum terus memandu melarikan diri dan merampas sebuah lori penghantar barang pasar raya kira-kira tujuh kilometer dari tempat kejadian pertama sebelum memandu lori itu sejauh 20 kilometer ke kawasan berdekatan lapangan terbang.

Dalam perjalanan, lelaki berusia 24 tahun itu merempuh beberapa kereta.

Lelaki itu kemudian cuba merampas sebuah kereta dan menikam seorang lelaki mahu menghalangnya sebelum mencuri teksi.

Polis berjaya menghentikan teksi itu dan cuba menembaknya dengan ‘taser’ (pistol kejutan elektrik) namun lelaki itu menikam dadanya sendiri dan mati di tempat kejadian.

“Lelaki itu tidak berniat mencederakan sesiapa, hanya melakukan apa yang boleh bagi mengelak daripada ditahan,

“Tindakannya, terutama menikam orang tidak bersalah dipercayai tindakan orang yang mengalami masalah mental,” kata Pemangku Pembantu Komisioner Polis, Mick Fitzgerald.

Menurut polis, lelaki berkenaan mempunyai masalah mental namun tiada rekod jenayah manakala mangsa yang ditikamnya sedang dirawat di hospital,

Seorang saksi, Chris Burton berkata, lelaki itu kelihatan ‘gila’ dan ‘tidak keruan.’

“Dia menghampiri seorang lelaki dan berkata, ‘tikam saya, tikam saya, tikam saya’ sambil menghulurkan leher,” katanya.

Disiarkan pada: January 5, 2019 @ 6:15am
d