global

Wanita korban video intim

Oleh Agensi

FLORIDA (AMERIKA SYARIKAT): Seorang wanita ditembak suaminya yang menemui rakaman di telefon bimbit menunjukkannya mengadakan seks bersama rakan baiknya, dengan panggilan kecemasan turut merakam audio serangan termasuk jeritan anak kembarnya merayu belas bapa mereka.

William Brian Stillwell, 39, menembak isterinya Mona, serta ibu dan bapa mentuanya Robert dan Naima Snelgrove, selepas menemui video berkenaan dalam kejadian pada hari tahun baharu di Melbourne, Florida. Pasangan itu sudah berpisah selepas Mona berpindah ke rumah ibu bapanya minggu lalu.

Dalam rakaman panggilan kecemasan kepada talian 911 diperoleh Daily Mail, seorang anak kembar pasangan itu yang baru berusia lima tahun didengar menjerit: “Tidak, ayah. Saya tidak mahu sesiapa mati.”

Mona kemudian didengar menjerit ‘Jangan, tolonglah!’ sebelum dua bunyi tembakan kedengaran dan dia menjerit kepada anaknya supaya lari. Mona turut merayu kepada operator 911 supaya segera datang menghantar bantuan.

Pasangan kembar berkenaan terus didengar merayu supaya bapa mereka tidak menembak Mona, manakala Stillwell dengan tenang berkata: “Tidak apa, sayang, ayah sayangkan kamu.”

Mona dan ibu bapanya kini dirawat di hospital, tetapi dilaporkan dalam keadaan stabil.

Menurut polis, Stillwell mendakwa menemui video isterinya bersama rakan baiknya.

Dia didakwa atas tuduhan cubaan membunuh, rompakan bersenjata, penderaan kanak-kanak dan menyembunyikan senjata api. Dia direman selepas tidak dibenarkan jaminan.

Jurucakap Jabatan Polis Melbourne, Leftenan Shawn Eising berkata dalam satu kenyataan, anak-anak Mona berjaya melarikan diri ke rumah jiran yang melindungi mereka sehingga polis sampai.

Sementara itu, jiran mereka Phil McMahon memberitahu rangkaian berita Channel 9: “Saya tidak tahu bagaimana bapa Mona terbabit, namun dia ditembak. Dia datang ke rumah dengan darah berlumuran dari luka di pinggulnya dan meminta saya menghubungi 911.”

Media melaporkan Snelgrove ditembak di bahagian kemaluan manakala Naima ditembak di siku dan perutnya.

Disiarkan pada: January 6, 2019 @ 12:00pm
d