global

UNHCR kesal India hantar pulang Rohingya

Oleh Agensi

AGENSI pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meminta penjelasan India berhubung keputusannya menghantar pulang sekumpulan Rohingya ke Myanmar, selain menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan tidak selamat dihadapi golongan berkenaan.

Laporan The Hindu memetik Timbalan Jurucakap Setiausaha Agung UNHCR, Farhan Haq berkata, pihaknya ‘kesal dengan keputusan India menghantar pulang satu keluarga peminta suaka Rohingya ke Myanmar, dalam kejadian kedua seumpamanya dalam tempoh tiga bulan.’

Agensi pelarian PBB itu berkata, satu keluarga peminta suaka dari Rakhine yang didaftarkan dengan UNHCR di India dihantar pulang ke Myanmar pada Khamis lalu selepas ditahan di Assam, di mana mereka menjalani hukuman penjara sejak 2013 kerana memasuki negara itu secara haram, lapor Press Trust of India.

Menurut agensi itu, ia tidak menerima maklum balas daripada pihak berkuasa di India walaupun berulang kali meminta akses kepada individu yang ditahan bagi melihat keadaan penahanan mereka selain mengenal pasti sejauh mana mereka sukarela dihantar pulang.

Katanya, ia kejadian kedua seumpamanya selepas sekumpulan tujuh lelaki Rohingya dihantar pulang ke Rakhine pada Oktober 2018, dan UNHCR menganggap keadaan di negeri berkenaan situ tidak sesuai untuk membolehkan penghantaran pulang.

Sementara itu, Farhan berkata, PBB mahu memastikan mana-mana Rohingya yang dihantar pulang ke Myanmar melakukannya dengan kerelaan sendiri.

“Malangnya dalam kes ini, kami tidak dapat memastikan perkara itu. Inilah yang paling membimbangkan kami,” katanya.

Disiarkan pada: January 6, 2019 @ 5:42pm
d