global

Dendam 18 tahun terlunas akhirnya

Oleh AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengesahkan tentera negara itu berjaya membunuh perancang serangan bom terhadap kapal perang USS Cole pada 2000 menyebabkan 17 tentera terbunuh.

Jumaat lalu, tentera Amerika menyatakan anggota al-Qaeda, Jamal al-Badawi, terbunuh dalam serangan udara meyasarkannya di Yaman.

“Tentera kita yang hebat sudah menegakkan keadilan untuk wira kita yang maut dan cedera dalam serangan pengecut terhadap USS Cole.

“Kami tidak akan berhenti dalam peperangan terhadap keganasan Islam radikal,” kata Trump melalui Twitter.

Pada 12 Oktober 2000, dua lelaki merempuh kapal pemusnah USS Cole menggunakan bot getah yang sarat dengan bahan letupan ketika kapal perang terbabit berlabuh dekat Aden, Yaman, bagi mengisi minyak.

Letupan akibat rempuhan itu menyebabkan lubang besar pada sisi kapal dan membunuh 17 tentera laut Amerika.

Pada 2003, Juri Agung Persekutuan Amerika memutuskan Jamal al-Badawi bersalah terhadap serangan itu. Dia berjaya melarikan diri dari penjara Yaman pada 2003 dan ditangkap semula pada 2004, namun pada Februari 2006 sekali lagi berjaya melepaskan diri.

Perancang utama serangan berkenaan, Abd al-Rahim al-Nashiri, kini ditahan di kem tahanan Amerika di Teluk Guantanamo, Cuba.

Jamal dipercayai membekalkan bot dan bahan letupan untuk serangan itu. Dia juga didakwa cuba bersubahat menyerang satu lagi kapal tentera laut Amerika pada Januari 2000 selain tersenarai sebagai individu paling dikehendaki Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Disiarkan pada: January 8, 2019 @ 6:15am
d