global

Bunuh diri tak tahan tunggu hukuman mati

Oleh Agensi

LAS VEGAS: Seorang banduan yang menanti hukuman mati kerana membunuh dan mengerat mayat seorang lelaki pada 2002, membunuh diri kerana tidak sabar menunggu hukuman berkenaan dilaksanakan.

Scott Raymond Dozier, 48, dihukum mati menerusi suntikan maut di Nevada, tetapi pelaksanaannya berulang kali ditangguhkan. Peguam belanya sebelum ini berusaha merayu terhadap hukuman itu, namun dua tahun lalu dia mengarahkan mereka menghentikannya sebaliknya menggesa hakim supaya menetapkan tarikh pelaksanaannya.

Bagaimanapun, hukuman mati itu terus ditangguhkan menyebabkannya semakin murung, kata rakannya, semalam.

Pada petang Sabtu, Dozier mengikat alas katil pada saluran udara di sel tahanannya di penjara Ely, Nevada dan menggantung diri.

Jurucakap penjara berkata, Dozier berseorangan dalam sel tahanan ketika kejadian, manakala pegawai kerajaan negeri mengakui dia pernah mengancam membunuh diri malah cuba memperoleh dadah atau pisau cukur yang boleh digunakan untuk tujuan itu.

Pembuat filem, Edgar Barens yang sedang menghasilkan dokumentari mengenai Dozier berkata: “Dia tidak mahu menghabiskan sisa hayatnya menanti-nanti hukuman mati, sebaliknya lebih sanggup berdepan kematian menyakitkan dengan suntikan maut.”

Malangnya, pelaksanaan hukuman mati terhadapnya tertangguh selepas sebuah syarikat dadah memprotes kerana bimbang reputasinya tercalar jika produk keluarannya digunakan untuk tujuan berkenaan.

Disiarkan pada: January 8, 2019 @ 10:46am
d